Saturday, January 26, 2013

Nota Poket Markisa

Bersenjatakan gincu-gincu merah yang terang,
engkau tumpahkan puisi-puisi indah nebula,
mediumnya, cermin-cermin rumah yang telah menempel lama.
nota untuk jiwa, takut-takut lupa,
katanya manja. senyumnya cantik terbias.

apabila dia, dilarikan mesin terbang ke antipode.
selalunya akan terhinggap, pesanan ringkas yang mesejnya jelas,
rindu berskala besar, rasa sayang yang berinti manis,
berkali-kali tak henti-henti. penting untuk aku tahu terasnya.
luah dia.

bila-bila dia terluka, gara-gara dentum petir yang hiba,
suaranya terus menuju ke aku, berbisik lemah, mengharap nyawa.
merayu perlahan, supaya dipulih rohnya ke fasa asalan,
dia memang selalu begitu, tak mahu berjarak dalam apapun.

aku duduk dan tersenyum,
khayal dengan candunya. mabuk dengan dua sayapnya,
lalai dengan bahagianya.

Matanya terus, senyumnya cantik.
Lalu terus ditanyakan tentang perasaan,
atas himpunan-himpunan syurga yang sepenuhnya kejutan.
Dan ya, ketika itu mulut ini tergamam.
Jujurnya venus, aku tersentuh dengan jiwamu.
Terlalu mendalam,
menekan-nekan di tengah dada yang selalunya penuh dengan mendung-mendung legap.
Terima kasih venus, untuk bahagia yang pastinya absurd untuk putus.

Lampau,sekarang, dan hadapan,
aku pilih untuk bernyawa. terus hingga bila-bila.



No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved liyamarliana.blogspot.com